ISLAM adalah ajaran yang lengkap dan menyeluruh
dalam setiap aspek kehidupan manusia. Islam memiliki panduan hidup yang
ditetapkan Allah bagi menjamin kesejahteraan hidup umatnya di dunia dan
kebahagiaan sejati di akhirat.
Oleh itu, tidak ada sebab umat Islam perlu meniru
atau mengambil mana-mana budaya asing, selain Islam. Ajaran Islam lengkap,
sempurna dan diyakini dalam serba-serbinya.
Amat malang akhir-akhir ini, generasi muda begitu
mudah terpengaruh dan menerima bulat-bulat unsur budaya asing. Mereka
sebenarnya tidak memerlukan budaya atau amalan seperti ini yang jelas
bertentangan dengan Islam.
Contohnya, ramai muda mudi yang menyambut
kedatangan hari memperingati kekasih pada 14 Februari.
![]() |
| Gambar Hiasan |
Rasulullah SAW pernah memberi amaran keras kepada
umatnya berkenaan gejala mengikut, meniru atau melakukan budaya asing melalui
sabda Baginda bermaksud: "Sesiapa yang melakukan perbuatan yang
menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia turut termasuk bersama golongan itu."
(Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad)
Jelas daripada maksud hadis Rasulullah SAW bahawa
umat Islam dilarang sama sekali meniru budaya asing yang ternyata bercanggah
dengan akidah dan syariat Islam, apatah lagi ia turut menjerumuskan mereka ke
lembah kemaksiatan.
Oleh itu, mengapa perlu kita mengamalkannya,
sedangkan Islam menggalakkan umatnya kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang
waktu. Bukannya menetapkan pada hari tertentu atau berkala seperti Hari
Valentine.
Kasih pada ibu bapa, cinta pada isteri dan sayang
pada anak pada hakikatnya terus berlangsung sepanjang hayat dikandung badan.
Begitu juga kasih sayang sesama umat Islam dan
manusia sejagat sewajibnya utuh dan erat sepanjang masa. Bahkan, jika kita
tidak bertegur sapa dengan saudara sesama Islam selama tiga hari
berturut-turut, hukumnya sudah pun jatuh haram.
Amalan atau budaya Islam terbukti jauh lebih baik
daripada budaya asing.
Islam turut menggalakkan umatnya kasih mengasihi
sesama mereka dengan mengamalkan budaya menyebarkan salam, saling bertukar
hadiah, ziarah-menziarahi.
Kita juga dianjurkan berkongsi perasaan suka-duka
dengan tumpang bersyukur jika senang dan bertakziah atau bersimpati apabila
ditimpa mala petaka.
Rasulullah SAW kerap menziarahi orang sakit dan
tidak ketinggalan pernah mengunjungi orang yang meninggal dunia biarpun
berlainan kaum mahupun agama. Malah, perbezaan agama, kaum atau keturunan tidak
akan menyebabkan permusuhan dan pertelagahan antara kaum.
Sebaliknya, mereka saling bantu membantu,
bekerjasama dan berganding bahu untuk membangunkan Madinah ketika itu.
Perbezaan akidah atau agama bukanlah satu penghalang besar ke arah mewujudkan
hubungan kemanusiaan yang lebih harmoni dan akrab.
Dalam erti kata lain, berkasih sayang menurut
perspektif Islam amat luas dan ia tidak hanya terhad kepada golongan tertentu.
Ia meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami
isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh umat manusia.
![]() |
| Gambar Hiasan |
- Bicara Agama Berita Harian -
iman_solehin



No comments:
Post a Comment